Perjuangan Berprinsip

Saya melihat apa yang berlaku di persada politik Sabah dengan kerisauan yang sangat mendalam. 

Melihat rakan-rakan seperjuangan yang saya kenal, meninggalkan parti yang selama ini menuangi kami semua, ianya sangat  menyedihkan.

Tetapi ini lah politik dan kehidupan. Masing-masing ada perhitungan sendiri. Mereka pasti mempunyai rencana sendiri dan kita harus menghormatinya.

Seperti yang saya ulas di dalam kenyataan saya sebelum ini, tiada paksaan di dalam sebuah perjuangan. Kesetiaan bukan sesuatu yang kita boleh tuntut daripada sesiapa pun.

Tetapi sesuatu yang mesti ada dalam perjuangan adalah prinsip. Perjuangan tanpa pinsip adalah perjuangan yang rapuh dan pasti tidak berkelangsungan.

Perjuangan yang berprinsip adalah perjuangan yang terbit daripada keyakinan moral yang mendalam bahawa apa yang kita perjuangkan itu, dapat kita benar-benar jiwai.

Perjuangan yang berprinsip juga adalah cerminan nilai, pemikiran, keperibadian dan wibawa kita. 

Lantas, pemimpin yang berprinsip tidak akan sama sekali berkompromi dengan nilai dan kepercayaanya. 

Dalam sejarah Islam, Bilal Al Rabah, seorang hamba yang  memilih Islam sebagai jalan rohaninya, sanggup melalui seksaan luar biasa hanya kerana beliau memilih untuk mempertahankan kepercayaannya.

Nelson Mandela, bersendiri dalam penjara selama 27 tahun, hanya kerana satu prinsip, iaitu memperjuangkan Afrika Selatan yang penduduk kulit putih dan kulit hitam dapat hidup bersama dalam rukun dan damai, tanpa diskriminasi.

Pasti kita mengkagumi keberanian Malala yang tidak tunduk sama sekali kepada ancaman Taliban untuk tidak pergi ke sekolah dan mendapatkan pendidikan disebabkan oleh jantinanya.

Menyingkap semua ini, terkenang saya tentang perjuangan politik tanah air kita sendiri. Semakin kita maju, membangun dan terkehadapan, semakin susut kepercayaan bahawa perjuangan dan kepimpinan mestilah berasaskan prinsip.

Kita berhadapan dengan kepercayaan bahawa orang yang berprinsip itu terlalu idealis. Lalu kebanyakan kita mengutamakan politik, bukan prinsip. 

Yang kita angkat adalah mereka yang bersekutu dengan kuasa. 

Yang memepersonakan kita ialah pangkat, darjat, martabat dan kewangan maha berkuasa.  Bukan pemikiran dan keyakinan terhadap sebuah perjuangan. 

Kerana itulah UMNO terjerumus ke tahap kerendahan dan kelemahan seperti sekarang.

Dalam UMNO pasca moden ini, prinsip itu tiada pesona dalam amalan politiknya. Yang menjadikan seseorang itu ahli politik berjaya dan berpengaruh, ialah dengan siapa dia mempersekutukan dirinya. 

Kerana ukuran kejayaan dalam UMNO selama ini, ialah pengaruh dan wibawa kepada mereka yang berwang dan berharta.

Malah politik wang begitu membarah merupakan sebab yang telah membawa kepada tersungkurnya UMNO dari tampuk pemerintahan negara. 

Dan selepas tewas pun, politik wang masih terus menjadi budaya. Sesiapa yang punya wang, pasti boleh menguasai ahli parti.

Berpuluh tahun saya berjuang di dalam UMNO, sedikit benar saya mendengar kita berbicara tentang ideologi UMNO. Tentang prinsip dan kepercayaan yang menjadi teras parti kita ditubuhkan.

Selama berpuluh tahun juga, saya menyaksikan bahawa pemimpin yang mempunyai pemikiran besar, idea luar biasa, keteguhan keperibadian dan keyakinan yang mendalam terhadap perjuangan, jarang sekali mendapat tempat dalam parti. 

Kerana kita terbiasa dengan budaya politik kuasa bukan politik berprinsip. 

Justeru itu, saya sangat yakin, usaha kita merawat, memulih dan membangunkan UMNO ini mestilah dengan mengembalikan kepimpinan berprinsip dan bermoral.

Kita mesti kembali ke fitrah, bahawa pemimpin mesti diyakini kerana kebenaran nuraninya, bukan pesona kuasanya.

UMNO akan terus susut tanpa pemimpin berprinsip dan mempunyai wibawa moral yang utuh.

Ia hanya akan kembali pulih, jika kita boleh mencari pemimpin yang percaya bahawa berpegang kepada prinsip adalah perjuangan yang sebenar-benar perjuangan.

Telah tiba masanya kita mencari mereka yang yakin dengan ideologi UMNO yang hakiki. Iaitu memperjuangkan politik pertengahan yang akan membuahkan kebaikan kepada bangsa Melayu dengan sebanyak-banyaknya, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat Malaysia yang lain.

Hanya mereka yang percaya dengan prinsip ini, meyakini ideologi ini, dan menjiwai pemikiran ini, akan mampu memberikan kepimpinan berwibawa untuk bangsa Melayu dan Malaysia yang berkemajuan. 

Jika ada kudrat, insyallah, inilah sebahagian dari apa yang saya akan ikhtiarkan untuk UMNO yang tenat ini. Mencari dan membangunkan pemimpin baru yang berprinsip dan mempunyai kekuatan rohani dan moral yang unggul. 

Tanpa mereka sebegini, bukan sahaja UMNO, malah mana-mana parti politik sekalipun, pasti akan menempuh detik pengakhirannya.

 

BERSATU di Sarawak – Eksperiman Politik yang Pasti Gagal

Tun Dr Mahathir telah pun melancarkan Bersatu peringkat Negeri Sarawak pada Sabtu , 1 Disember lepas.

Pelancaran tersebut dilakukan di Bintulu dan menampilkan hampir kesemua anggota Kabinet dari Bersatu. Ia nampaknya seperti sebuah program ‘retreat’ kepimpinan Bersatu dan bukannya majlis pelancaran sebuah parti politik. Ramai sekali pimpinan Bersatu dari Semenajung yang hadir.  

Apa yang berlaku tersebut mengigatkan saya pada 1994 bila UMNO, juga di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir membuat keputusan melebarkan sayapnya ke Sabah. Setelah 24 tahun, ia ternyata sebuah projek politik yang gagal dan tidak berkelangsungan. Sabah akhirnya kembali kepangkuan parti politik tempatan jua. 

Saya sangat yakin bahawa Bersatu akan juga gagal di Sarawak seperti gagalnya UMNO di Sabah. Ada beberapa sebab saya berkeyakinan sedemikian. Biar saya ulaskan secara ringkas.

Pertama, Bersatu yang dilancarkan beberapa hari lepas itu, tidak menonjolkan pemimpin Sarawak sebagai ketuanya. Waktu ini, ia diketuai oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusuf. Walaupun mereka menyatakan bahawa Datuk Seri Mohd Rezduan adalah penyelaras sementara, ia adalah alasan yang sangat dangkal. Masakan mereka tidak boleh mempercayai anak Sarawak untuk memimpin Bersatu di Sarawak!

Kedua, saya juga tidak melihat nama-nama terkemuka dari kalangan orang Melayu dan Bumiputera Sarawak yang ditonjolkan. Malah tiada satu senarai pun yang diumumkan apatah lagi nama tokoh berwibawa yang boleh diharapkan untuk membangunkan pengaruh Bersatu di Sarawak. Saya juga dimaklumkan bahawa mereka sedang mencari dan mengenal pasti barisan kepimpinan yang sesuai. Nyata sekali bahawa kemasukan Bersatu adalah tanpa persediaan paling penting, iaitu mencari anak-anak Sarawak yang berwibawa untuk memimpin perjuangannya. 

Ketiga, saya juga tidak melihat keghairahan orang-orang Sarawak untuk menyertai Bersatu. Jika Bersatu  tidak menyaksikan gerombolan besar orang Melayu menyertainya di Semenanjung ini, usahlah diharapkan ia kan berlaku di Sarawak. Saya melihat Bersatu ini, disebalik segala retorik pemimpinnya, sangat bergantung dengan kemasukan ahli Parlimen UMNO dan ahli UMNO untuk memperkukuhkannya. Percayalah, orang Melayu Sarawak pasti mempunyai kearifan yang tidak boleh dimengerti oleh pimpinan Bersatu. Maka kerana itu, Bersatu akan menjadi ikhtiar politik yang gagal di Sarawak.

Keempat, di Sarawak tidak ada krisis politik yang memerlukan parti lain dari Semenanjung untuk bertapak. Dalam pilihanraya Negeri yang lepas, Kerajaan Negeri mendapat mandate yang sangat luar biasa. Malah pilihanraya negeri yang lepas telah menyaksikan sokongan masyarakat Cina telah kembali kepada Kerajaan Negeri. 

Waktu ini, Sarawak di pimpin dengan baik oleh Abang Johari dan rakan-rakan komponen Gabungan Parti Sarawak. Beliau seorang yang bersih, ‘scandal free’ dan bekerja kuat. Mereka punya rencana yang besar dan progresif unyuk masyarakat Sarawak. Saya melihat tiada sebab untuk rakyat Sarawak menukar Kerajaan. 

Kelima, Bersatu adalah parti untuk orang Melayu. Tun Mahathir sendiri mengakui bahawa ia adalah parti yang bersifat perkauman. Yang nyata, ia hanya sesuai untuk orang Malayu walaupun mereka menggunakan istilah pribumi. Pribumi kepada pimpinan dan anggota Bersatu ialah Melayu. Ini sama sekali sangat bertentangan dengan demografi Sarawak. Ia sebuah negeri yang sangat berbilang kaum, berbagai agama dan beragam latar belakang. 

Bersatu bukan pilihan politk dalam demografi sebegini. Malah PBB di Sarawak, walaupun di pimpin oleh orang Melayu, tidak pernah sama sekali memperjuangkan hanya kepentingan orang Melayu. Ia adalah parti yang memperjuangkan kepentingan semua kaum bumipurtera dan bukan bumiputera. Lihatlah kepelbagaian latar belakang pimpinan pelbagai peringkat PBB. Saya sarankan Bersatu belajar dari hikmah politik PBB yang sangat inklusif, adil dan berkemajuan. 

Keenam, penubuhan Bersatu di Sarawak akan pasti melemahkan lagi kedudukan orang Melayu Sarawak. Dalam jumlahnya yang hanya sekitar 25 peratus, perpecahan orang Melayu akan pasti terjadi natijah dari kemasukan Bersatu. Akhirnya, perpecahan bangsa Melayu yang semakin melebar dan dampaknya melemahkan kedudukan politik mereka. Inilah yang mereka lakukan di Semenanjung waktu ini.  

Ketujuh, Bersatu harus belajar dari pengalaman UMNO. Walaupun UMNO membuka seluas-luasnya ruang untuk bumiputera Sabah menyertainya, ternyata masyarakat pribumi bukan Islam di Sabah tidak terpengaruh. Mereka lebih selesa dengan politik yang diwakili oleh parti politik setempat.  Demikian jualah di Sarawak. Lihat sahaja PKR dan Amanah di Sarawak. PKR mengambil masa dua dekad untuk memenangi beberapa kerusi dun dan parlimen di Sarawak. Amanah pula, laksana hidup segan nati tak mahu. 

Kepada rakyat Sarawak, ingatlah betapa UMNO sangat menghormati kearifan pimpinan dan masyarakat tempatan dengan tidak melebarkan sayapnya walaupun ia pernah sangat berkuasa sebelum ini.

UMNO mengambil pendirian tegas bahawa urusan kepimpinan dan politik Sarawak, harus diserahkan kepada kebijaksanaan rakan politik kita di negeri tersebut. 

Kerana kepada UMNO, meluaskan pengaruh politik secara berkesan bukan semestinya harus bertapak di Sarawak. Ia boleh dilakukan secara lebih efektif melalui kerjasama politik dan sinergi dengan pemain tempatan.

Kerana itu, saya sangat yakin, dalam lanskap politik Sarawak yang stabil dan berkedudukan baik, kehadiran Bersatu adalah langkah tidak bijaksana, strategic dan sesuai. Ia sesungguhnya tindakan memecah belahkan orang melayu dan melemahkan kuasa politik mereka. 

Suatu masa di hari muka, kita pasti akan melihat Bersatu tersungkur di persada politik Sarawak. Malah mungkin juga Malaysia. Cita-cita dan nafsu nya besar, tetapi ideologinya tiada dan kekuatan politiknya sangat tohor. 

MCA yang Keliru Tentang BN dan Masa Depannya.

Keputusan perwakilan MCA untuk membubarkan BN adalah sesuatu yang tidak sukar di mengerti. Apa jua keputusan perwakilan MCA adalah sesuatu yang dijangka. Sentimen negative terhadap BN sangat menebal dikalangan anggota MCA pasca PRU 14.

Cuma MCA harus lebih tegas dan jelas. Tinggalkan sahaja BN dan bukannya membuat resolusi untuk membubarkan BN. 

Kenapa saya berpandangan sedemikian. Biar saya jelaskan.